Isnin, 24 Ogos 2009

Kisah Benar**

Suatu hari di bulan Syaaban 1430H...

menjelang lewat petang anak muda ini menyambut tangan ibunya lantas dikucup.

anak muda : saya jalan dulu ye mak.
ibu : yelah. hati-hati memandu, jangan laju-laju.

anak muda cuma mengangguk sekali. tangannya segera meraih adik kecik berusia 2 tahun yang baru petah bercakap.

anak muda : salam abang, abang nak gi belajar ni.

si kecik menyambut tangan abangnya lalu dilayangkan ke pipi. wajahnya murung bagai memahami akan ditinggalkan sekali lagi.

kereta biru laut yang berusia lebih 10 tahun berderum meninggalkan halaman rumah. perjalanan jauh akan ditempuh anak muda itu menuju ke alma maternya nun di sintok kedah. bersama menemani teman sekampung yang turut menuntut di menara gading yang sama.perancangan asal untuk bertolak seawal pagi terpaksa ditangguhkan dek kereta yang sering merajuk-rajuk. sudahnya tatkala matahari hampir tenggelam barulah perjalanan dimulakan.

jam 3 pagi.
grik.

anak muda menjegilkan mata menahan kantuk. stereng digenggam kemas-kemas. teman di sebelah sudah lama terlena dibuai mimpi. sesekali lengan kiri mengurut leher sendiri yang sedikit lenguh. perjalanan yang selalunya hanya memakan masa 5 jam dari kota bharu ke sintok kali ini terpaksa dipanjangkan dek ulah kereta separa antik itu. namun dek hambatan kuliah, anak muda dan temannya gagahi jua.

anak muda itu kemudiannya memperlahankan kereta apabila sebuah waja bernombor pendaftaran negeri yang sama tiba-tiba memotong. namun memandangkan keadaan jalan yang tak ubah ular dipalu waja tersebut turut memperlahankan larian. anak muda sabar mengekor dari belakang meskipun darah mudanya bergelojak mahu memotong.

setelah agak lama...

anak muda : uik... apehal cam siput sedut ni?

dadanya terasa berdebar-debar. penuh dingin memercik di sekitar dahi. teman di sebelah dikerling sekilas.

anak muda : tdo pulak. nk kejut kesian plak. tapi apehal semacam je waja kat depan ni...

kala itu hujan gerimis membasahi kelam dinihari. tempias hujan yang mencuri masuk terpercik ke wajah anak muda tersebut. niat mahu mengejutkan teman di sebelahnya tidak diteruskan. degup jantung yang lebih laju dari biasa mengusik perasaannya. kereta waja di hadapan seakan sengaja mendera. kelajuan yang seperti sengaja diperlahankan menambah resah anak muda. lantas, anak muda memasang tekad.

anak muda : potong jela...

pedal minyak ditekan. kereta meluncur laju, semakin menghampiri waja di hadapan. untuk seketika, tatkala kelajuan di aras yang sama, kereta saling bersebelahan. pemandu waja tidak merapatkan tingkap kereta meski hujan rinik-rintik, malah tangannya dilabuhkan di tingkap sehingga terjuntai keluar. agak aneh, sehingga menarik perhatian anak muda. dan, anak muda itu kemudiannya sedikit tersentak saat terperasankan sesuatu.

anak muda : eh... kenapa tangan sampai nak cecah jalan?

spontan, anak muda menoleh.

bagai terhenti sekejap degup jantung...

pemandu waja memandu tanpa kepala.

sepantas kilat anak muda mengalih pandangan ke dada jalan semula. butir-butir peluh makin kasar berbintik di dahi setiap liang roma. irama jantung entah berlagu apa. pedal minyak ditekan lagi. kali ini waja di belakang. namun ada ketika seperti mahu mengejar kereta tuanya.

anak muda mengerling kepada teman di sebelah. masih terlena.

anak muda telan liur sebelum mulutnya terkumat-kamit membaca ayatul kursi. selesai bacaan pertama, waja di belakang semakin menjauh. dan begitulah seterusnya setiap kali selesai satu bacaan. akhirnya di satu selekoh, waja tidak lagi muncul-muncul. seolah-olah hilang ditelan kegelapan malam.

anak muda menghela nafas lega.

teman anak muda kemudiannya terjaga. matanya terpisat-pisat menghilangkan kantuk yang masih bergayut di kelopak mata.

teman anak muda : eh, kat mana dah ni?

anak muda : dah nak sampai dah. eh, ko perasan tak waja tadi? plat D** tadi?

teman anak muda : aha. mana dah eh?

anak muda tersenyum sedikit : hilang.

temannya terpinga-pinga seketika sebelum anak muda menjelaskan apa terjadi.

**notakaki**
**cerita di atas adalah kisah benar abang penulis.
**dialog adalah dalam slang kelantan.



p/s : nggee....! aku terimagim cemana la rupa badan x de kepala tu.... tamau jumpa la!

save the earth...

Tiada ulasan: