Isnin, 16 November 2009

50 sen

Pernah ada sorang penyanyi melagukan jumlah 50 sen ni. Tapi aku lupa siapa atau bagaimana lirik lagunya. Justeru aku akan terus ke intipati yang nak aku kongsikan kat sini sementara aku sedang merehatkan otak dari terus mengingati exam. Hahaha...

Tahun : 1994
Lokasi: Sek. Keb. Kor

50 sen pada zaman ni merupakan angka yang agak besar bagi kanak-kanak berusia 7-12 tahun yang datang dari keluarga sederhana. Lima posen masa ni bermaksud sepinggan nasik lauk ayam, segelas sirap, dan seketul kueh yang kalau makan kuehnya semata pun dah mampu memberi kesan kenyang setengah hari.

Zaman ni, nasik lauk ayam hanya la berharga 30 sen, dan bagi yang sedikit berselera besar boleh la melaung kat makcik kantin mintak nasik lauk ayam 40 sen yang mana nasik dan lauknya lebih banyak berbanding yang telah siap terhidang yang bernilai 30 sen.

Nasik lemak pulak berharga 20 sen dengan kombinasi nasik sepinggan yang memang cukup santan bagai, sambal bilis sesenduk besar, 1/4 telur rebus dan beberapa layang timun. Sama seperti tadi, bagi yang berselera besar dengan nasik lemak boleh jugak melaung dekat makcik kantin mintak nasik lemak berharga 30 yang berkuantiti extra dari nasik lemak 20 sen.

Pun begitu, ada jugak kanak-kanak yang dari keluarga yang sedikit susah yang mungkin ke sekolah berbekalkan 20sen atau 10sen akan mintak nasik lemak berharga seposen dari makcik kantin.

Aku masih ingat pandangan budak tu sambil berkata:

"Makcik, nasik lemak seposen boleh tak?" Sambil menunjukkan sekeping syiling seposen.

Dan makcik kantin dengan sangat baik hatinya telah mengambil sepinggan nasik lemak lalu mengurangkan beberapa bijik nasik dan menjual nasik lemak yang asalnya bernilai 20 sen kepada budak tadi dengan harga seposen. Maka dapatla budak itu makan dengan kenyang pada rehat tersebut.

Air pulak cuma berharga seposen segelas. Air yang kadang-kadang air sirap, air bandung, air oren dan macam-macam lagi.

Kueh pulak sangat la bersaiz gergasi nak dibandingkan dengan sekarang yang comel ala-ala dan kueh pulak hanya berharga seposen seketul. Tanpa makan nasik pun boleh mengenyangkan perut kanak-kanak berusia 7 tahun.

Justeru, pada masa itu, 50 sen sangat besar nilainya. Setelah makan masih boleh menyimpan seposen atau 20sen dari jumlah tersebut tanpa mengikat perut atau menelan liur melihat teteman makan dengan lahap dan seleranya. Menabung dengan gaya yang sangat santai pada ketika itu.

Sehingga lah kira-kira 3 tahun selepas itu, negara mengalami kemelesetan ekonomi, bermula tahun itu segalanya naik dengan mendadak. Tiada lagi nasik berharga 20 sen atau 30 sen. Semuanya berharga sekurang-kurangnya 50 sen, 60 sen, 80 sen atau seringgit.

Segelas kecik air juga sudah bernilai 30 sen. Dan tiada lagi makcik kantin yang baik yang mahu membantu kanak-kanak yang kekurangan wang saku untuk menikmati makanan seperti orang lain.

Waktu itu, apabila dibekalkan dengan 80 sen ke sekolah, yang terpikir, mak aku main kaya agaknya ni....

Sekarang.
Tahun: 2009

50 sen syukurnya masih lagi punya nilai. Sekurang-kurangnya masih boleh beli.............beli.........

Tisu.
Pemadam 20 sen.
.........
Tambah lagi seposen boleh la beli segelas nescafe panas dari mesin vender kat tempat letak barang library..... ;P








p/s: Habis study nanti boleh la minum nescafe 60 sen.... ;)



save the earth...