Sabtu, 13 Mac 2010

Testing V

“Atau kau memang sukakan Hisyam?”

Syuhaida mengangkat wajah. Matanya hampir terbelalak mendengar serkap jarang Zikri. Darah merah menyerbu ke muka. Panas. Telinganya seakan menipis. Terasa kasar aturan nafasnya. Syuhaida menyilangkan tangan ke dada, mengawal diri dari terus melimpahkan amarah yang makin membuak.

“Kalau ya sekalipun, kenapa? Ada masalah dengan tu?”

Giliran Zikri terbelalak. Hampir tercabut telinganya mendengar jawapan Syuhaida yang begitu lepas. Syuhaida mengerling dengan ekor mata. Di bibirnya tersungging senyuman sinis.

Syu sukakan Hisyam? Hisyam sukakan Syu? Sebab tu kedua-duanya cukup mudah menerima cadangan aku tempohari? Mereka memang ada hubungan di belakang aku? Nazirah menghembuskan sebuah keluhan berat. Terbayang-bayang wajah keruh Hisyam saat diajukan cadangannya. Ah! Tak mungkin! Hisyam cintakan aku. Dan Syu sukakan budak kilang tu. Tak mungkin diorang ada hubungan di belakang aku!

“You ni dah hilang akal ke apa? Ingat hal macam ni boleh dibuat main-main?” suara Hisyam melengking.

“Tapi Syu dah setuju,” jawabnya perlahan, cuba menagih simpati.

“Setuju atau you yang paksa?” sindir Hisyam.

Nazirah tertunduk. Malu dengan sindiran Hisyam yang nyata tepat terkena batang hidungnya.

“Apakata kalau kita teruskan saja rancangan kita?”

“Tidak!” suara Nazirah meninggi tiba-tiba. Menyanggah keras usul Hisyam. Meneruskan majlis perkahwinannya dengan Hisyam adalah perkara terakhir yang akan dilakukannya.

I tak nak you kahwin dengan orang yang dah nak mati! I tak nak you cari pengganti lepas I mati! I tak sanggup lepaskan you pada orang lain lepas I mati! Kalau you nak kahwin, you kena kahwin depan I, masa I masih hidup! Nazirah pejamkan mata rapat-rapat. Membiarkan wajahnya basah dengan air mata yang tak henti mengalir. Bukan mudah mahu melepaskan kesayangannya begitu saja. Bukan mudah mahu melihat tunangnya sendiri bersanding dia atas pelamin impian mereka dengan orang lain. Bukan sedikit pengorbanan yang harus dilakukan. Dan yang pasti, bukan sedikit luka yang harus ditanggungnya.

“Kenapa lucutkan cincin ni? Kan elok kalau dipakai?” tegur Hisyam, sengaja memecahkan suasana yang masih beku.

Pandangannya melekat kepada Syuhaida yang sedang leka menggosok baju. Kononnya! Hisyam tersenyum tawar, bukan dia tak tahu Syuhaida sengaja menyibukkan diri. Sengaja meletakkan jarak antara mereka. Sejak hari pernikahan mereka lagi. Hinggalah usia perkahwinan mereka mencecah usia tiga minggu. Dan dia hanya mengikut rentak Syuhaida. Hisyam menggelengkan kepala bila sapaannya terbiar begitu saja. Jam tangan dicapai lantas disarung ke pergelangan tangan. Rautnya diperhati sekilas di permukaan cermin sebelum mengorak langkah ke muka pintu. Tapi tangannya terhenti di tombol pintu. Hisyam menoleh kepada Syuhaida semula. Entah bila wanita itu berdiri di sisinya.

Wanita itu mencapai tangannya, menyalami dan mengucupnya perlahan. Sesaat kemudian Syuhaida berdiri tegak semula. Saling beradu pandang dengannya. Perkara yang tidak lagi dilakukan sebaik bersetuju dengan cadangan Nazirah. Tapi pagi ini Syuhaida seolah mendapat semangat baru. Tangan Hisyam masih digenggam, seakan enggan dilepaskan lagi.

Hisyam tunduk apabila terasa tapak tangannya dibuka. Cincin pernikahan mereka, yang sepatutnya merupakan cincin pernikahan dia dan Nazirah, kelihatan di situ. Hisyam panggungkan kepala. Segera mengalihkan pandangan ke wajah isterinya. Tanda tanya mula mengetuk minda.




save the earth...