Khamis, 18 Mac 2010

Testing VIII

Rusuh di hati Zikri menghilang tiba-tiba mendengar ayat yang meluncur dari bibir Syuhaida.

“Syu sayangkan Zik.” Ulang Syuhaida. “Sebagai kawan. Syu sayangkan Zik sebagai kawan, dan Syu tak nak kehilangan Zik.” Lanjutnya syahdu. Sedaya upaya dikawal air mata agar tidak menitis di hadapan Zikri, bimbang kalau-kalau perasaan sebenarnya terzahir.

Syuhaida melihat ada dua simpang kecil di hadapannya. Kedua-duanya kelihatan sama. Tapi untuk meneruskan perjalanan, dia harus memilih satu antara dua. Langkah kakinya membawa tubuh ke simpang sebelah kanan. Jalan yang mulanya nampak biasa, makin berselirat bila dilalui. Tanpa disedari dia tersandung seketul batu. Dia hilang imbangan, lalu tertolak ke hadapan. Syuhaida pejamkan mata, ngeri membayangkan sakitnya terhempas ke tanah. Saat ini dia terasa tubuhnya dipaut, serentak dia membuka mata. Imbasan wajah seseorang menyapa pandangan.

“Aida?”

Syuhaida membuka matanya. Melilaukan pandangan sebelum pancainderanya yang satu itu terhenti di roman di hadapannya. Terlupa terus tentang mimpinya seminggu sebelum mereka dinikahkan. Hanya Hisyam memenuhi pandangannya kini. Kemudian pandangannya beralih di tangan Hisyam yang melekat di pipinya yang sejuk. Dia merapatkan kelopak matanya semula. Menikmati sentuhan tangan Hisyam yang meminjamkan hangat di wajahnya. Dan sentuhan itu mengingatkan dia akan permintaan kedua Nazirah.

“Aku sayangkan Syam, kau tahu kan.” Syuhaida memalingkan wajah. Enggan pandangannya menjamah wajah Nazirah. Bukan lagi risau amarahnya bertukar simpati, tapi dia takut kalau-kalau amarahnya bertukar benci.

“Dan aku galang gantinya?” Soal Syuhaida, sinis. Sengaja diulang semula kata-kata yang pernah dilontarkan sedikit masa dahulu.

“Tapi aku tak dapat hidup tanpa Hisyam, Syu!” Nazirah teresak. Dia mencapai tangan Syuhaida, menggenggam dan membawanya ke dada. “Please Syu... tolonglah.”

Air mata Nazirah bagai hujan lebat di musim tengkujuh. Habis luntur make-up yang dipakainya. Tapi dia langsung tidak peduli. Lengan Syuhaida terus dipaut kemas, dia amat terdesak untuk memiliki Hisyam. Walaupun terpaksa membina kebahagiaan di atas penceraian sahabatnya sendiri, dia sanggup. Keputusan yang dibuatnya beberapa bulan yang lalu ternyata begitu menyeksa emosinya. Apatah lagi melihatkan kebahagiaan yang mula dikecapi pasangan pengantin baru itu. Perasaannya bagai disiat-siat.

“Lagipun, Hisyam cuma cintakan aku.”

Dan bila dia didapati bebas dari kanser otak yang kononnya bakal meragut nyawanya, Nazirah sangat gembira. Dia seolah diberi nyawa kedua. Dan keinginan yang menggebu untuk memiliki Hisyam menjadikan lelaki itu sebagai orang pertama yang dicarinya. Tetapi pertemuan secara tidak sengaja dengan Syuhaida di sebuah restoren sebaik mengetahui keadaan kesihatannya yang sebenar menyebabkan bibirnya lancar bercerita tentang angan-angannya untuk meneruskan impian yang terbantut dek kesilapan ujian darah tempohari.

“Syukurlah you selamat Zira. I gembira untuk you.”

“Syam, I happy sangat. Sebelum ni I takut sangat I akan kehilangan you,” Nazirah tersenyum manis, lengan Hisyam diraih. Ingin disandarkan kepalanya di situ seperti selalu. Tapi seperti terkena cerek panas, Hisyam cepat-cepat menarik lengannya.

Nazirah terkejut. “Kenapa Syam?”

“Zira, I happy untuk you, dan I doakan you bahagia,” ucap Hisyam, sekadar mengulang semula kata-katanya di awal pertemuan tadi.

Tingkah Nazirah sebentar tadi mengundang kalutnya. Risau aksi sebegitu menimbulkan perasaan tidak senang dalam hati Syuhaida. Kalau dulu dia amat bahagia diperlakukan begitu, tapi hari ini, perasaan itu sudah berubah. Dan orang yang bertanggungjawab merubah perasaan itu adalah wanita yang sedang berada di depan matanya ketika itu.

“You tak macam happy pun. Dulu you tak macam ni, you dah berubah Syam. Kenapa?” Nazirah sedikit jengkel. Terasa malu bila dia seperti hidung tak mancung cuba bermanja-manja dengn lelaki itu.

Hisyam tergelak. Terasa lucu dengan soalan Nazirah. Selebihnya dia terasa muak melihat Nazirah yang seperti tidak sedar dengan apa yang telah berlaku antara mereka.

“I memang dah berubah. I dah kahwin, Zira. You patut lebih tahu tentang tu,” sindirnya. Ketawanya masih bersisa.

“Tapi you kahwin sebab I kan, sebab you cintakan I, dan sebab you buktikan yang you sangat sayangkan I__”






save the earth...