Sabtu, 13 Mac 2010

Testing IV

“Zik, terlalu lewat untuk berbincang tentang kita. Zira dah lebih dari keluarga sendiri__”

“Dan Hisyam dah lebih dari tunang sendiri?” pintas Zikri cepat. Pandangannya tajam dan sinis. Syuhaida memegang kepalanya.

Nazirah mencapai semula laporan ujian makmal yang diterimanya dari Dr. Mursyid siang tadi. Dibelek-belek walau dia kurang pasti apa yang perlu ditatap. Susunan huruf yang berterabur dan lintang pukang. Tulisan yang bersimpang-siur. Catatan yang bermacam-macam. Dia mengeluh. Kepalanya dihenyak dia atas bantal lembut. Spontan jemari menari-nari di permukaan dahi yang berkerut kecil. Bingung rasanya.

“Jadi saya tak apa-apa? Laporan sebelum ni adalah satu kesilapan, macam tu?” Nazirah merenung Dr.Mursyid yang sedang berhadapan dengannya. Doktor itu menarik nafas pendek sebelum membuka mulut.

“Ya Cik Nazirah. Pihak kami amat kesal dengan kesilapan ini.”

Aku sihat? Pitam sebab kekurangan darah dan amalan pemakanan yang tak membekalkan zat secukupnya untuk badan? Bukan kanser otak? Dan umur aku masih panjang? Bukan beberapa bulan seperti yang dibimbangkan sebelum ni? Nazirah memicingkan mata. Dia akui, dia memang kurang menitikberatkan pengambilan khasiat dalam pemakanannya. Dia terlalu gemarkan makanan segera yang nyata mudah disediakan, dan rasanya yang enak. Langsung tak terfikir akan kesan yang bakal ditanggung. Bukan tak pernah keluarganya atau Syuhaida mahupun tunangannya Hisyam menasihatinya tapi dia sendiri lebih senang dengan cara begitu. Lebih cepat, ringkas, dan menjimatkan masa katanya.

Nazirah mengiring ke kanan. Sebelah tangan dijadikan alas kepala. Pandangannya melekat pada sekeping gambar yang dibingkai dengan bingkai yang berwarna keemasan di atas meja rias. Gambar dia bersama keluarganya, dan di tengah-tengahnya ada Syuhaida dan Hisyam. Gambar tersebut diambil semasa majlis pertunangannya tempohari. Nazirah tersenyum. Teringat bagaimana indahnya debaran saat cincin disarung ke jarinya dan kemudian dahinya dikucup perlahan oleh bakal mentuanya. Dia tunduk tersipu saat itu. Tangannya hampir menggigil ketika menyalami tangan ibu Hisyam. Manakala Syuhaida yang tak lekang dari sisinya asyik menggiat hingga wajahnya merona kemerahan. Senyuman Nazirah makin lebar mengenangkan detik bersejarah mengikat tali pertunangan dengan buah hatinya.

Tapi tiba-tiba senyuman itu mati.

“Atau kau memang sukakan Hisyam?”




p/s: Akhirnya tamat sudah sesi pembentangan poster. Lega buat sementara waktu~! :))

save the earth...