Selasa, 16 Mac 2010

Testing VII

“Tapi aku sayangkan kau Syu,” luah Zikri dalam satu pertemuan.

Syuhaida pejamkan mata, jemarinya bersulaman sesama sendiri. Berusaha mencari kekuatan. Hatinya tak putus menyebut nama Allah, memohon agar dikuatkan hati dan diri berhadapan dengan pilihannya.

Seminggu sebelum majlisnya, Syuhaida menunaikan solat sunat taubat, solat hajat dan diikuti solat istikharah. Memohon dengan sepenuh hati agar dosa-dosanya diampunkan, memohon agar kedua ibu bapa yang tak sempat dikenali digolongkan dalam kelompok orang-orang beriman. Berdoa semoga keputusan yang bakal dibuat merupakan pilihan terbaik meski bukan itu yang paling dimahukan. Di akhir solatnya, dia sujud di tikar sejadah, simbolik menyerahkan seluruh hidup dan masa depannya kepada ketentuan Tuhan. Sepanjang malam, pipinya basah dengan percikan pilu. Suara Nazirah bertingkah-tingkah dalam ingatan.

“Syu, kau tahu apa akan jadi pada kau tanpa bantuan keluarga aku kan? Dengan kelulusan yang ada, kau cuma mampu kerja kilang je, tu pun papa aku yang tolong carikan. Masyarakat tak pandang lulusan STPM macam kau sekarang Syu.”

Spontan telapak tangannya terangkat, melekat kemas di dada. Tak terlintas kata-kata penghinaan begitu keluar dari mulut sahabat yang paling akrab dengannya. Dia tidak lupa! Dia tahu, tanpa bantuan keluarga Nazirah, dia tidak akan berada di kedudukannya hari ini. Dia tidak akan berjaya menamatkan persekolahannya, dan tanpa bantuan kewangan dari keluarga Nazirah, dia mungkin tidak mampu berada di situ, walau hanya sebagai pekerja kilang.

“Masanya untuk kau membalas budi baik keluarga aku Syu, itu pun kalau kau manusia yang tahu mengenang budi,” bidas Nazirah.

Maafkan aku Syu! Tak terniat untuk lukakan hati kau, tapi aku tak ada pilihan!

“Apa yang kau mahu aku buat?” Syuhaida menyoal, lirih. Matanya beku di wajah Nazirah. Ada senyum di bibir sahabatnya itu. Dan senyuman itu dilihat bagai racun.

“Kahwin dengan Hisyam.”

Kata-kata itu bagai hukuman gantung mandatori yang membunuh terus impiannya. Impian untuk membina masa depan bersama lelaki idamannya. Impian untuk bergelar isteri kepada seorang lelaki yang disayanginya.

“Syu pun. Syu pun sayangkan Zik.”

Rusuh di hati Zikri menghilang tiba-tiba mendengar ayat yang meluncur dari bibir Syuhaida.




save the earth...