Isnin, 15 Mac 2010

Testing VI

Hisyam tunduk apabila terasa tapak tangannya dibuka. Cincin pernikahan mereka, yang sepatutnya merupakan cincin pernikahan dia dan Nazirah, kelihatan di situ. Hisyam panggungkan kepala. Segera mengalihkan pandangan ke wajah isterinya. Tanda tanya mula mengetuk minda.

“Kau gila??!” Syuhaida terkejut. Anak matanya galak menerkam ke wajah Nazirah. Dadanya berombak kasar menahan asakan emosi. Terkejut dan geram, hairan dan takjub, berbaur-baur. Segalanya bergumpal-gumpal menjadi satu. Luahan nafasnya jadi kasar dan tak teratur. Romannya sendiri tegang. Saranan Nazirah sebentar tadi amat memeranjatkan dan di luar dugaan.

Hampir tiga minggu lalu dia bergelar isteri Hisyam yang sah. Majlis perkahwinan yang mencatat sejarah yang tersendiri bila nama pengapit pengantin tiba-tiba disebut sebagai pengantin perempuan semasa akad nikah. Majlis yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar menjadi mimpi ngeri buatnya. Dua bulan sebelum itu Nazirah datang dan mendesaknya supaya menggantikan tempatnya sebagai pengantin perempuan. Segala pengorbanan dan budi baik keluarganya diungkit. Sejarah hidup Syuhaida yang tak beribu dan berbapa diselongkar. Kesucian keturunannya dipersoal. Hinggalah Syuhaida akhirnya memberi persetujuan. Semua gara-gara keputusan ujian darah Nazirah setelah dia pitam tempohari. Keputusan yang mengatakan bahawa Nazirah mengidap kanser otak yang bakal meragut nyawanya dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi. Sebagai seorang anak muda yag berpelajaran tinggi, Nazirah enggan tunangannya memperjudikan nasib dengan mengahwininya yang tiada harapan untuk terus menghirup udara di bumi Tuhan. Tapi sebagai seorang wanita dan manusia, Nazirah tidak dapat lari dari perasaan mahu memiliki dan menguasai. Cemburu yang menebal juga memaksanya memikirkan sesuatu agar Hisyam akan terus mengingatinya walau setelah dia tiada lagi di dunia.

Justeru, Nazirah tidak mahu membatalkan majlis perkahwinannya. Sebaliknya, majlis tersebut akan diteruskan juga, tapi Syuhaida sebagai pengantin menggantikan tempatnya. Hanya dengan cara ini Hisyam akan terus mengingatinya kerana tak mungkin Hisyam akan mencintai sahabatnya sendiri. Perkahwinan itu juga akan mengekang Hisyam dari mencari wanita lain sebagai pengganti.

“Fasakh?!”

“Aida cakap apa ni?” soal Hisyam keras. Matanya mencerlung menggambarkan yang dia amat marah.

Baru sekejap tadi dia terbuai dengan perlakuan Syuhaida, isteri yang dinikahi bukan saja atas desakan Nazirah tapi juga atas desakan keluarga yang terpengaruh dengan kata-kata Nazirah yang kononnya enggan kedua-dua belah pihak menanggung malu jika majlis perkahwinan mereka dibatalkan. Baru sebentar tadi Syuhaida menyalami tangannya, mengucup tangannya, dan dia masih dapat merasa ada satu arus yang mengalir detik itu. Baru saja dia ingin tenggelam dalam kebahagiaan yang seakan mahu berputik tapi waktu yang sama Syuhaida seperti menyimbah sebaldi air dingin ke wajah dengan bercerita tentang permintaan Nazirah. Marahnya meletus mendadak.

“Aida ingat nikah kahwin, bercerai-berai ni main-main? Macam cerita kartun?” jerkah Hisyam, masih keras seperti tadi. Cuma kali ini tubuhnya dipusing membelakangkan Syuhaida, tak mahu menatap wajah wanita yang akhir-akhir ini kerap hadir dalam ingatannya.

Syuhaida terdiam. Gerun juga bila Hisyam tiba-tiba menjegilkan matanya sebentar tadi. Walhal, sesaat sebelum itu dia baru saja melihat kelembutan di wajah suaminya. Suami? Ya, Hisyam kini suaminya. Suami yang sah. Bukan Zikri yang selalu dimimpikan dalam tidurnya, tapi Hisyam, tunangan sahabat baiknya sendiri. Bukan Zikri yang sering menemani masa-masa lapangnya, tapi Hisyam, lelaki yang selalu menjadi kesayangan Nazirah. Lelaki yang menggenggam tangan tok kadi dan melafazkan akad nikah itu adalah Hisyam, bukannya Zikri yang selalu diidamkan. Syurganya kini dalam keredhaan suaminya; Hisyam.

“Tapi aku sayangkan kau Syu,” luah Zikri dalam satu pertemuan.





save the earth...