Khamis, 11 Mac 2010

Testing III

Tangan segera berlari ke mulut. Nazirah hampir melopong.

“Zik, tolonglah faham. Aku perlu tolong Nazirah. Dia satu-satunya sahabat yang sentiasa ada untuk aku. Yang selalu membantu aku. Aku terhutang budi, Zik,” luah Syuhaida. Air mata yang ingin merembes ditahan. Bimbang tak mampu mengawal diri nanti. Berdepan dengan lelaki yang selalu muncul dalam tidurnya ini memang selalu membuat perasaannya bergelora.

Zikri meraup muka dengan kedua tapak tangan. Kemudian anak rambut yang jatuh di permukaan dahi disibak ke belakang. Sebuah keluhan berat diluahkan. Dia rusuh. Dia terkejut bila Syuhaida bercerita tentang permintaan Nazirah. Dan dia benar-benar terkejut bila Syuhaida ingin menunaikan permintaan itu. Dia arif tentang hidup Syuhaida yang yatim piatu. Dia juga maklum tentang keakraban Syuhaida dan Nazirah sejak zaman persekolahan hingga kini. Syuhaida juga disenangi oleh keluarga Nazirah dan bukan sedikit bantuan yang Syuhaida terima dari Nazirah sekeluarga. Pertemuannya dengan Syuhaida juga bertitik tolak dari bantuan bapa Nazirah yang mencarikan kerja untuk Syuhaida di kilang elektronik itu. Malah, kemampuan Syuhaida menamatkan pengajiannya di tingkatan enam juga hasil bantuan kewangan keluarga Nazirah salurkan. Zikri sedar Syuhaida terlalu banyak terhutang budi dengan keluarga itu. Justeru dia mengerti betapa besar keinginan Syuhaida untuk cuba membalas hutang budi tersebut biar tidak diminta. Dia amat sedar tentang hakikat itu. Tapi apakah hutang tersebut harus dibayar dengan mengorbankan seluruh masa depan, hidup malah perasaan Syuhaida? Begitu sekali?

“Macamana dengan kau sendiri Syu? Aku? Kita? Pernah kau fikirkan tentang tu?” Zikri memberanikan diri menyoal.

Sungguh, dia amat kalut berdepan dengan kenyataan yang bakal membawa gadis itu jauh darinya. Walaupun mereka tidak pernah berbicara tentang hati dan perasaan tapi sebagai lelaki normal dia mengerti permainan tubuh Syuhaida yang acap kali tersipu memandangnya. Malah bukan sekali dua dia tertangkap pandangan Syuhaida melekat di wajahnya. Dia sendiri hanya menunggu masa dan waktu yang sesuai untuk meluahkan isi hatinya. Tapi kini segalanya seperti makin kabur. Syuhaida di hadapannya, sedang berbicara tentang hari pernikahannya. Dan yang pastinya pengantin lelaki bukanlah dia. Alangkah baiknya jika dia meluahkan perasaan kepada Syuhaida sebelum peristiwa itu berlaku. Alangkah bagusnya jika hari itu Nazirah tidak datang menjemput Syuhaida dan Nazirah tidak pitam saat itu. Alangkah indahnya kiranya masa mampu diputar semula!

Tapi mustahil sama sekali. Nazirah yang datang menjemput mereka untuk makan tengahari bersama jatuh pitam tiba-tiba. Dan doktor yang merawatnya menyarankan agar Nazirah menjalani beberapa siri ujian darah untuk memastikan kesihatannya. Keputusan ujian makmal yang diperolehi seminggu selepas itu bukan saja memusnahkan seluruh masa depan Nazirah, malah turut mengganggu-gugat masa depan Zikri sendiri.

Nazirah yang memang mempunyai sejarah migrain disahkan menghidap kanser otak dan dia disarankan menjalani pembedahan dengan kadar yang segera. Namun begitu, doktor yang merawatnya tidak memberi jaminan seratus peratus untuk kejayaan pembedahan tersebut. Nazirah diberitahu dia hanya mempunyai masa 6 bulan hingga setahun untuk terus menikmati dunianya. Sedangkan dalam masa terdekat dia akan melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya Hisham.





save the earth...